Kajian Pelan Induk Landskap (PIL) Majlis Daerah Lahad Datu, Sabah merupakan satu dokumen penyataan bertulis yang mengandungi perancangan landskap dan pelan tindakan jangka panjang untuk tempoh 10 tahun bagi pembangunan landskap di kawasan Majlis Daerah Lahad Datu, Sabah. Ia dilaksanakan dengan mengambil kira penekanan terhadap memperkukuhkan identiti landskap setempat dan Budaya Orang Lahad Datu yang unik di Daerah Lahad Datu.
Secara geografi, daerah Lahad Datu terletak di kawasan pantai timur Sabah. Daerah Lahad Datu terletak 500 km dari ibu negeri Sabah iaitu Kota Kinabalu dan berhampiran dengan beberapa bandar atau daerah seperti Sandakan. Tawau, Kinabatangan, Kunak dan Semporna. Analisis dan penilaian lokasi merangkumi faktor sedia ada dan faktor penilaian karakter landskap (LCA). Faktor sedia ada adalah seperti faktor fizikal, guna tanah, rekabentuk bandar, tipologi, infrastruktur, kawasan lapang dan lain-lain. Lapan buah kawasan telah dipilih sebagai kawasan tindakan landskap iaitu pusat Bandar Guineensis, menaiktaraf Bandar Fajar, First Palm City Lahad Datu, Taman Bandar Lahad Datu, Kampung Warisan Sapagaya, Taman Daerah Lahad Datu, Pembangunan Jaringan Hijau dan ekopelancongan Pantai Parapat.
Berdasarkan kajian dan analisis yang telah dibuat pada peringkat Laporan Teknikal secara keseluruhannya pemilihan konsep LEMBAH LESTARI dan LAHAD GUINEENSIS sebagai tema pilihan dilihat sesuai dan menepati karakter yang ingin ditonjolkan. Dengan mengaplikasikan konsep ini, secara tidak langsung dapat mengekalkan pembangunan kawasan MDLD secara moden dan pada masa sama tidak mengetepikan asperk-aspek lain yang penting iaitu warisan alam semula jadi dan nilai kemasyarakatan agar dapat menonjolkan identiti MDLD.
Laporan ini secara keseluruhannya turut mengandungi cadangan dari aspek strategi pelaksanaan, pengurusan dan penyelenggaraan serta garis panduan landskap sebagai tambahan kepada garis panduan sedia ada dari Bahagian Landskap, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah dan juga Jabatan Landskap Negara. Semua pembangunan baharu yang melibatkan landskap perlu menggunapakai laporan ini sebagai rujukan dan panduan agar kualiti, ciri-ciri dan elemen-elemen landskap yang dibangunkan dapat menampilkan konsep landskap dan identiti yang tersendiri bagi daerah Lahad Datu. Dokumen ini akan diguna pakai oleh MDLD sebagai panduan, kawalan dan penguatkuasaan pembangunan landskap di kawasan MDLD.
Perancangan Pelan Induk Landskap yang holistik dapat memacu Daerah Lahad Datu ke arah pencapaian persekitaran hidup yang berkualiti dan menyeluruh disamping memperkukuhkan identiti landskap dan budaya Orang Lahad Datu yang unik pada masa ini dan akan datang. Ia juga konsisten dengan misi Majlis Daerah Lahad Datu iaitu menjadikan daerah Lahad Datu sebagai sebuah bandar yang terancang, bersih, sitematik, berdaya saing dan seimbang dengan arus pembangunan.
![]() |
Gambar 1: Laporan Pelan Induk Landskap Majlis Daerah Lahad Datu, Sabah
|